Kami berkumpul dalam satu dewan. Seperti ada kursus yang berlangsung. Aku melihat dia dan Izzati. Hati seperti biasa, berdebar tidak menentu. Aku menekan telefon mendail no. Izzati. Dari jauh aku memerhatikan dia cuba untuk keluar dewan untuk menyambut panggilanku. Lantas aku matikan panggilan itu. Kelihatan dia kembali ke tempat duduknya dan bercakap-cakap dengan Kahar. Aku dapat melihat Kahar menunduk selepas mendengar penjelasan Izzati. Namun Izzati, dia tetap tenang dan masih tersenyum.
Seusai kursus itu berlangsung, aku sengaja lalu dihadapan mereka. Melihat kehadiranku, Kahar masih menunduk. Tiada kata yang diucapkan. Wajahnya muram. Aku mencari-cari kelibat Izzati. Tidak kelihatan. Tidak lama aku terdengar mereka akan pulang. Aku masih mencari-cari Izzati. Ada benda yang ingin aku berikan kepadanya. Cincin. Ya, cincin yang pernah Kahar berikan padaku. Aku menanggalkan cincin itu daripada jari manis tangan kiriku. ‘Eh, kotor suda cincin ni. Sudah tidak bersinar. Ada pulak permatanya yang sudah tercabut. Kan bagus kalau aku sempat menghantar cincin ini ke Kedai Emas untuk dicuci dan diganti permatanya yang sudah tercabut sebelum aku memberikannya kepada Izzati’. Tapi, tiba-tiba hatiku berdetik lagi. ‘Ini bukan cincin yang Kahar berikan padaku. Seingatku dia berikan aku cincin Emas Putih. Aku melihat semula ke jari jemari tangan kiriku. Ada lagi sebentuk cincin emas, dengan bentuk butterfly di atasnya. Sebelah kepaknya bersalut Emas Putih. Aku berfikir sejenak. Ini pun bukan cincin yang Kahar berikan. ‘Jadi, di mana cincin itu?’. Lantas aku melihat jari jemari tangan kananku. Ada lagi sebentuk cincin Emas Putih dengan sebiji permata di atasnya. Lama aku melihat cincin itu. Ya, inilah dia cincin yang Kahar hadiahkan padaku. Saat itu, aku melihat kelibat Izzati, dia mengekori Kahar ke arah kereta mereka. Aku memanggil Izzati.
“Izzati…tunggu..”
“Ada apa kak?”
“Ini cincin ni. Simpanlah. Kamu yang lebih layak memakainya”.
Walau hatiku berat tatkala ingin mencabut cincin itu dari jari manisku, ku teruskan juga. Berat hati untuk menyerahkan cincin itu kerana aku sangat sayang dan suka kepada cincin itu. Namun, apalah gunanya menyimpan sesuatu bila kita tidak layak untuk memilikinya. Aku merenung cincin itu lama sebelum memberikan kepada Izzati. Dia masih berdiri dihadapanku dengan senyuman.
“Terima kasih ya kak.. “.
Dia menyambut cincin itu lantas berlalu segera menuju ke kereta mereka. Dia tidak melihat ke hadapan sedang dihadapannya ada sebuah kereta yang sedang mengundur dari petak parking dengan laju. Izzati tidak perasan. Pantas aku menjerit namanya..
“Izzati..!!!”
Dia melihat ke hadapan dan terkesima melihat kereta itu laju meluru ke arahnya. Nasib baik pemandu kereta itu sedar kehadiran Izzati lantas menekan brek. Penumpang di tempat duduk belakang membuka pintu kereta dan memarahi Izzati.
Aku lantas mendapatkan Izzati dan memeluknya. Sambil itu sempat aku memarahi lelaki itu.
“Kamu tahu ini tempat orang ramai, mana boleh undur kereta begitu laju..!!”
Mereka tidak mengendahkan kemarahanku lantas berlalu. Aku berpaling melihat Izzati. Dia masih tersenyum. Tiada kegusaran di wajahnya.
“Izzati, kamu itu mengandung. Tolonglah berhati-hati..” Pesanku padanya. Bukan apa, sekiranya terjadi apa-apa kepadanya tadi, pasti aku yang dipersalahkan kerana aku yang menahannya sebentar tadi.
“Baik kak..” Jawabnya tenang dan ringkas dan tetap dengan senyuman seraya berlalu mendapatkan Kahar yang setia menunggu di kereta. Kahar masih bermuram, tunduk dan langsung tidak melihat kepadaku. Dari jauh aku melihat Izzati melambaikan tangannya kepadaku sedang kereta mereka yang dipandu oleh Kahar berlalu.
Selepas itu aku tersedar daripada tidurku. Ya Allah, apa makna mimpi itu. Aku merasa jari manis di tangan kananku. Tidak ada cincin Emas Putih itu. Iya, tidak pernah ada cincin itu. Aku tidak pernah memilikinya kerana Kahar tidak pernah memberikannya kepadaku. Rasa tidak keruan dalam sedarku.
Aku bangkit. Semasa minum pagi bersama adikku Zaleena, aku ceritakan kepadanya mimpi ku itu.
“Hmm.. apa maknanya mimpi itu ya?”
“Ish..ish. Tiada bermakna tu. Kan dalam mimpi tu kakak sudah serahkan cincin tu pada dia. Itu maknanya kakak sudah tidak perlu pada cincin itu. Sudah diserahkan pada yang selayaknya. Maknanya kakak sudah tidak ada hutang lagi, tiada kaitan lagi dengan mereka. Sudahlah kak.. Lupakan dia. Lupakan mereka…”
Aku berfikir lagi. Ya, mungkin betul cakap Zaleena. Mungkin itulah isi tersurat daripada mimpiku itu. Mungkin inilah masanya aku sudah benar-benar menerima kenyataan yang Kahar bukan untukku.
Mimpi mungkin mainan tidur. Mungkin juga suatu anganan yang kita inginkan namun belum tergapai. Tapi apa yang pasti, biarlah rasional kita tidak terganggu olehnya. Kita boleh bermimpi. Tapi bila datang sedar dan kenyataan, terimalah ia dengan redha.
