The beginning

The beginning

Sunday, 9 September 2012

Akhirnya Aku Bertemu Dia..

Aku sampai ke Kota Kinabalu petang itu. Esok ada mesyuarat Jabatan yang perlu dihadiri. Selain mesyuarat itu, aku ada misi yang ingin aku capai di kota ini. Kelmarin aku mendapatkan perkhabaran yang dia ke Kuala Lumpur. Tapi mungkin dia akan pulang ke kota ini hari ini. Kalau ikutkan rancangan awal, aku ingin bertemu dia hari ini. Terlalu sarat rasanya rindu, dan juga persoalan hati. Yakin dia tidak akan masuk kerja hari ini, aku putuskan untuk mencari hadiah untuk dia. Aku pergi ke CP, tempat yang terdekat dengan hotel aku menetap. Rasanya puas aku berpusing-pusing di seluruh mall itu, tapi hadiah yang aku inginkan masih belum ku temui. Betapa aku berharap lebih banyak pilihan yang ada untuk dihadiahkan kepada bakal baby  yang belum diketahui jantinanya, namun hampa.  Perasan dengan jelingan kakitangan kedai yang melihat aku berputar-putar di tempat mereka, ambik barang letak semula, ambik lagi, letak lagi. Akhirnya aku putuskan. Set baju newborn baby Pureen warna putih dengan imprint kucing-kucing dan baby blanket Minnie and Mickey Mouse jadi pilihanku. Aku berharap ini sedikit sebanyak dapat melembutkan hatinya, menjernihkan keadaan.

Keesokan harinya, setelah selesai dengan mesyuarat, aku pulang semula ke hotel. Rasa hati ingin berehat sebentar. Mata berat sangat. Bukan kenapa, aku tidak dapat tidur semalam. Mungkinkah tidak biasa dengan tempat tidur ataupun kerana semangat dan fikiran merencana pertemuan yang kurancang pada hari ini. Adakah aku berjaya bertemu dia atau sebaliknya. Tengah hari itu aku bertemu dengan dua kawan sama-sama belajar dahulu. Sudah lama tidak bertemu mereka. Rindu membawa kami bertemu hari itu. Selepas pertemuan dengan mereka, aku meneruskan rancanganku yang satu. Terus terang aku tidak pernah menjejak kaki ke tempat kerjanya. Aku tidak tahu dapatkah aku bertemu dia. Sudahkah dia masuk kerja hari ini atau masih bercuti rehat. Kalau dia sudah masuk kerja, mahukah dia bertemu dengan aku. Seribu persoalan bertandang, hati yang sememangnya gundah bertambah debarannya.

Aku tiba di hospital itu pada jam 3.40 ptg. Ya Allah, sudah hampir habis masa bekerja. Harap-harap masih sempat. Aku terus menuju ke kaunter pertanyaan. Bersyukur dalam hospital ini ada kaunter pertanyaan. Mula terbayang kalaulah tiada kaunter sebegini, bagaimana aku mahu mencari orang yang belum pernah aku temui ini. Aku mula merasa pertolongan-Nya. 'Terima kasih Ya Allah, betapa Engkau amat memahami hamba-Mu'.

Aku:     Selamat Petang Cik. Boleh saya tanya dimana saya boleh jumpa Cik Izzati?

Aku terlupa dia bukan lagi Cik. Aku sepatutnya meletakkan gelaran Puan dihadapan namanya.

Penjaga Kaunter:        Ya Selamat Petang. Dia dari bahagian mana?

Aku terkaku sebentar. Ya Allah, dia tidak pernah memberitahu aku dia bekerja di bahagian mana. Aku meneka-neka. Mungkin di Bahagian Belanjawan.

Aku:     Err.. Kewangan..
Penjaga Kaunter:        Sebentar ya..

Dia mula menjalankan tugasnya menekan-nekan telefon di hadapannya.

Penjaga Kaunter:        'Hello Kewangan, Izzati ada masuk kerja hari ini? Erm, apa dia? Ooo, Pentadbiran. Terima kasih'.

Aku mendengar setiap butir perbualannya. Hatiku masih berdebar-debar.

Penjaga Kaunter:        'Hello, Pentadbiran. Izzati ada masuk kerja hari ni? Di mana? Keluar makan? Oo, ok..'  “Cik, dia ke surau. Mau tunggu?”

‘Alhamdulillah, dia ada di sini. Satu kerunsinganku terpadam. Ya Allah, pertemukanlah kami Ya Allah. Hamba-Mu ini bermohon..'

Aku:     Takpa, saya cari dia ke Surau. Surau tingkat berapa ya??
Penjaga Kaunter:        Mungkin di Tingkat 4..er, saya kurang pasti.

Erm, aku tidak menyalahkan dia. Mungkin kerana dia bukan beragama Islam, dia pastinya kurang arif di mana terletaknya Surau di bangunan itu.

Aku:     Takpa, terima kasih ya..
Penjaga Kaunter:        Sama-sama.

Senyuman gembira aku lontarkan kepada penjaga kaunter itu. Dia menjalankan tugasnya dengan baik sekali.

Aku melangkah ke arah lif sambil menjeling jam tangan. Sudah dekat jam 4. Harap-harap dia masih di Surau. Terbayang juga bagaimana agaknya jika kami berselisih. Di mana lagi aku akan mencari dia.

Ketika melangkah ke dalam lif, aku terserempak dengan seorang nurse.

"Kak, ble tanya.. Surau di mana?"
"Tingkat 6"
"Oo, itu satu-satunya Surau di sini ka kak?"
"Erm, tak pasti pulak.. sebenarnya saya pun baru di sini.."
"ooo.. Ok, terima kasih kak.. "

Hmm, hatiku berdetik lagi. ‘Kalaulah dalam bangunan ni ada Surau yang lain, mesti susah aku mau mencari dia. Ya Allah, permudahkanlah.’

Sampai ke tingkat enam, aku ternampak meja Pengawal Keselamatan. Aku terus mendekati Abang Pengawal itu.

"Assalamualaikum abang, boleh tanya. Di mana surau?"
"Mau ke Surau? Mari ikut sini….”
Aku mengikutinya. Dia menunjukkan Surau kepada ku. Sampai ke Surau Wanita, aku menjenguk melalui tingkap kecil di pintu surau tu. Hati aku berdebar ingin bertemu dia. Mula-mula aku terfikir ingin masuk ke dalam Surau itu mencari dia. Namun, aku batalkan. Kebetulan di luar surau itu ada 3 buah kerusi. Aku pun duduk di atas kerusi itu. ‘Lebih baik aku tunggu di sini, agar tidak mengganggu kekusyu'kan orang di dalam Surau’.

Kira-kira lima minit aku menunggu di situ. Beberapa orang keluar dari Surau silih berganti. Namun belum ada yang serupa dengan Izzati. Entah dia ada di dalam Surau itu atau tidak.

Akhirnya seorang yang ku tunggu keluar dari Surau itu. "Syukur Ya Allah.. Akhirnya aku bertemu dia..."

Aku memandang ke arahnya. Berharap dia akan mengenaliku. Dia hampir berlalu, rupanya dia langsung tidak cam padaku. Segera aku memanggilnya...

"Izzati..?"
"Ya.."

Aku berdiri lantas menghulur tangan.

"Siti.." Aku memperkenalkan diri. Dia nampak kebingungan seketika.
"Siti Zulaikha.."

Barulah garis kerut di dahinya lenyap. 
"Oo.. apa khabar kak?"
"Khabar baik. Kamu?"
"Alhamdulillah..sihat.."
"Macam mana kakak tau saya kerja di sini.." 
"erm.. tau dari.. erm.. adalah.. Tak kebetulan saya ke UMS untuk jumpa kawan-kawan lama. So, singgahla sini cari Izzati... "
"Ooo.." 
"Bah, kak. Marilah ke pejabat saya. Kita bual-bual di sana.. "
"Eh, bolehkah?. Nanti mengganggu"
"Oo.. tidak ba.." 
"Oo.. ok la.."

Kami berjalan perlahan-lahan menuju lif. Aku terfikir. Tidak lama lagi waktu bekerja akan habis. Mesti dia perlu menyiapkan tugasannya. Bimbang mengganggu mula bertandang ke dasar hati. 

"Ada apa kakak cari saya kak?" Dia bertanya sopan. 
"Erm, takda la. Boleh saya tanya sikit? Kenapa Izzati mendiamkan diri sebelum ni.. Izzati marah dengan saya?"
"Eh, takda la ka..."
"Erm, Izzati kena marah? Tak dibenarkan hubungi kakak?"
"Eh, tidaklah.."
"Habis tu.. "
"erm, adalah sebabnya kak.. "

Aku kehabisan soalan. Sememangnya tiada jawapan yang aku mahu, tapi sekurang-kurangnya dia masih memberikan jawapan. 

Akhirnya kami tiba di pintu pejabatnya. 

"Mari masuk kak..."
"erm, tak payahlah Izzati. Takut mengganggu kamu pulak. Mesti kamu banyak kerja perlu disiapkan. Saya baliklah dulu"
"Oo bah kak.."

 Sekali lagi aku menghulur salam. Dia menarik tanganku ingin menciumnya sambil berkata "kak, minta maaf ya kak sekiranya ada apa-apa salah..."

Hati kecilku tersentuh. Aku pantas menarik tanganku. Tidak wajar rasanya untuk dia mencium tanganku walaupun aku lebih tua daripadanya.

"Ish, kamu takda salah Izzati. Oya, saya dengar kamu bakal-bakal jadi ibu kan? Berapa bulan sudah?"
"Alhamdulillah, hampir empat bulan kak…"
"Oo, nah. Ini sedikit buah tangan untuk bakal cahaya mata tu.. Harap kamu suka ya.."

Dia tersenyum sambil menyambut bungkusan tu dan berterima kasih. Manis orangnya. Lemah lembut. Hatiku masih tersentuh dengan tindakannya tadi ingin mencium tanganku sambil meminta maaf.

"Kamu jaga diri ya.. "
"Iya kak..."

Aku segera melangkah meninggalkannya.. Tanpa menoleh kerna ada airmata yang bergenang. Terima kasih ya Allah. Terima kasih kerna mempermudahkan pertemuan ini. Semoga ada ukhwah yang terjalin, ada maaf yang terlahir dari kedua-dua hati, dan ada kasih sayang yang berkekalan. Doaku dalam hati sambil melangkah. Akhirnya, aku dapat bertemu dia..


No comments:

Post a Comment